PETALING JAYA, 17 MEI 2008: Perjuangan Stanly dalam Akademi Fantasia 6 (AF6) akhirnya terhenti jua malam ini apabila beliau menjadi pelajar terakhir yang terpaksa menarik keluar bagasi merah dari Dewan Sivik, di sini, sebentar tadi.
Drama menyedihkan itu dapat disaksikan secara langsung menerusi Astro Ria sekaligus memperlihatkan 5 pelajar lain iaitu Riz, Stacy, Nadia, Nubhan dan Toi melayakkan diri ke final AF6 yang akan diadakan pada 24 Mei ini di Stadium Putra, Bukit Jalil.
Menerusi perjuangan terakhirnya itu, Stanly yang dikenali dengan imej suara klasikal, menyampaikan lagu popular Alleycats, Kerana. "Terima kasih semua, jangan lupa Afundi kawan-kawan saya yang lain," kata Stanly sebelum melangkah turun dari pentas. Barisan tenaga pengajar juga tidak dapat menahan air mata terutama Cikgu Fauziah Nawi, Fatimah Abu Bakar dan Siti Hajar.